14 Pemain Sabah Terpilih Sertai Skuad Wanita Kebangsaan

IMG-20210906-WA0006.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Seramai 14 pemain wanita dari Sabah terpilih dalam skuad kebangsaan bagi persiapan menghadapi pusingan kelayakan Kejohanan Bolasepak Wanita AFC Piala Asia 2022.

Mereka termasuk lima pemain yang menganggotai pasukan wanita Sabah manakala sembilan pemain lagi mewakili pasukan di Semenanjung iaitu Melaka United dan Negeri Sembilan.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Dr Jelani Hamdan memberitahu, pemilihan pemain terbabit dalam pasukan kebangsaan merupakan satu pencapaian yang sangat membanggakan negeri ini.

Katanya, walaupun hanya lima pemain beraksi untuk pasukan negeri ketika ini namun keupayaan pemain lain untuk bermain dalam pasukan-pasukan di Semenanjung mencerminkan pemain wanita dari negeri ini mampu menyerlah di luar.

“Kehadiran kesemua mereka dalam pasukan kebangsaan adalah satu penghormatan kepada Sabah yang memiliki pemain wanita yang berbakat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.

Jelani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bolasepak Wanita SAFA memberitahu, pemain-pemain berkenaan bersama skuad kebangsaan akan berlepas ke Palestin pada 15 September ini, untuk menghadapi perlawanan pusingan kelayakan itu.

“Kita doakan mereka menunjukkan prestasi terbaik untuk membantu skuad kebangsaan mencapai kejayaan dalam perlawanan yang mereka harungi nanti,” ujarnya.

Menurutnya, SAFA akan sentiasa melipatgandakan usaha untuk mencungkil lebih ramai pemain wanita yang berkaliber untuk diketengahkan dalam pasukan negeri dan seterusnya mampu untuk mewakili skuad kebangsaan.

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top