13 Sekolah Di DUN Sebatik Terima Sumbangan Mesin Cetak

hassan-a-ghani.jpg
Kongsi Bersama

TAWAU: Sebanyak 13 buah sekolah di daerah ini menerima mesin cetak yang disumbangkan oleh pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik, di sini semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir berkata sumbangan itu adalah inisiatif pihaknya dalam membantu sekolah-sekolah yang memerlukan.

Katanya, keperluan itu adalah maklum balas daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau yang menyatakan sekolah-sekolah yang terlibat sangat memerlukan mesin cetak.

“Kemudahan mesin cetak memang sangat diperlukan di sekolah sama ada untuk kegunaan guru, pelajar ataupun pentadbir terutamanya sejak berlakunya pandemik COVID-19.

“Justeru, kami mengambil keputusan untuk memberikan sumbangan tersebut kepada sekolah-sekolah yang telah disenaraikan,” katanya ketika ditemui dalam majlis penyerahan mesin cetak, di sini hari ini.

Beliau berkata, sebagai wakil rakyat sangat menitikberatkan soal pendidikan anak-anak yang merupakan modal insan kepada negara terutamanya di DUN Sebatik.

“Kita akan bantu sedaya upaya dan berusaha melahirkan generasi yang ada di DUN Sebatik supaya menjadi pelajar berkualiti serta berpendidikan tinggi.

“Saya juga pasti kerajaan yang ada pada hari ini akan membantu sekolah-sekolah yang memerlukan terutamanya kategori daif agar kelengkapan kemudahannya mencukupi kepada semua pelajar,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pihak swasta melalui Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka turut membantu kerajaan dalam menyediakan kemudahan di sekolah.

Menurutnya, pihak swasta juga menunjukkan komitmen mereka dalam membantu sektor pendidikan di daerah ini dengan menyalurkan pelbagai bantuan.

“Selain itu, mereka juga telah mengemukakan cadangan untuk membantu sistem pendidikan terutamanya di kawasan DUN Sebatik.

“Kita sangat berterima kasih kepada pihak swasta kerana banyak membantu melalui CSR mereka bagi menyediakan kemudahan kepada pelajar di sekolah,”katanya.

Hassan berkata, pihaknya juga berterima kasih kepada PPD Tawau kerana memberikan kerjasama yang padu dalam menjayakan majlis penyerahan ini.

“Saya berharap dengan adanya sumbangan mesin cetak itu dapat melancarkan sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah,”katanya. – Utusan Borneo

 

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top