13 Daerah Di Sabah Sudah Keluar Zon Merah

covid-update.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sebanyak 13 daerah di Sabah sudah keluar daripada zon merah COVID-19 dengan masing-masing tujuh daerah dalam zon kuning, manakala enam daerah lagi dalam zon jingga setakat semalam.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata baki 14 daerah lagi masih berada dalam zon merah dengan 13 daripadanya di kawasan pantai barat, manakala hanya satu daerah iaitu Sandakan masih zon merah di pantai timur Sabah.

“Hari ini (semalam) sebanyak tujuh daerah di Sabah berada dalam zon kuning iaitu Semporna, Lahad Datu, Kinabatangan, Pitas, Telulid, Kalabakan dan Kunak.

“Enam daerah lagi berada dalam zon jingga iaitu Tawau, Kudat, Beluran, Nabawan, Sipitang dan Tongod, manakala baki 14 daerah pula kekal dalam zon merah,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Selain Sandakan, daerah yang masih berada dalam zon merah ialah Kota Kinabalu, Tuaran, Ranau, Penampang, Kota Belud, Putatan, Papar, Kuala Penyu, Tenom, Kota Marudu, Beaufort, Tambunan dan Keningau.

Seluruh Sabah berada dalam zon merah sejak Julai lalu sebelum beberapa daerah bertukar semula ke zon jingga dan kuning bermula dengan Kalabakan pada bulan lalu.

Peningkatan daerah yang keluar daripada zon merah COVID-19 di Sabah sejak beberapa hari lalu sejajar dengan catatan kes harian yang dilaporkan semakin mengecil.

Semalam, Sabah mencatat sebanyak 127 kes baharu COVID-19, turun 41 kes berbanding kelmarin dengan tiada kes kematian baharu dilaporkan, manakala 723 pesakit masih menerima rawatan.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata hanya lima daerah mencatat kes dua angka semalam iaitu Kota Kinabalu (31 kes), Tuaran 22, Penampang (12 kes), Ranau (10 kes) dan Tawau juga 10 kes.

“Sebanyak 13 daerah pula hanya mencatat kes satu angka iaitu masing-masing lapan kes di Putatan dan Kota Belud, diikuti Papar (enam), Kuala Penyu (empat), Semporna (tiga), masing-masing dua kes di Beluran, Sandakan, Kota Marudu, Tenom dan Kudat, manakala Tambunan, Nabawan dan Beaufort masing-masing satu kes.

“Sembilan daerah lagi tidak mencatat sebarang kes baharu iaitu Telupid, Lahad Datu, Kinabatangan, Kunak, Sipitang, Keningau, Pitas, Tongod dan Kalabakan,” katanya.

Sementara itu, katanya satu kluster baharu COVID-19 berkaitan jangkitan di tempat kerja dilaporkan di Kota Kinabalu semalam dengan sebanyak 22 kes dilaporkan setakat ini.

Masidi berkata, Kluster Bahtera Kinabalu itu membabitkan kakitangan kapal MV Orbit Petra, iaitu sebuah kapal luar pesisir yang berpunca daripada seorang anak kapal atau kes indeks yang disahkan positif sebelum ini. –BHARIAN


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top