13 buah Rumah Mesra SMJ di DUN Apas siap dibina

Nizam-rumah-SMJ.jpg

Nizam (tengah) ketika menyerahkan kunci Rumah Mesra SMJ kepada Saik Mohammad Abdul Rashid di Kampung Kuala Apas.

Kongsi Bersama

TAWAU: Sebanyak 13 buah Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk kuota Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas berjaya disiapkan dan diserahkan kepada pemohon tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pihaknya telah menyerahkan semua rumah berkenaan yang siap tahun ini kepada pemohon sedia ada.

Katanya, semua rumah yang diserahkan tahun ini adalah permohonan terawal sejak projek berkenaan dilancarkan pada September 2022 lagi.

“Beberapa lagi rumah yang hampir siap dan sedang dalam pembinaan tahun ini akan diserahkan kepada pemohon dalam masa terdekat.

“Kita akan segerakan penyerahan kunci rumah berkenaan kepada semua pemohon sebaik sahaja projek berkenaan siap dibina,” katanya.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan Rumah SMJ, di sini, semalam.

Menurutnya, Rumah SMJ adalah inisiatif kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor bagi membantu rakyat kurang berkemampuan untuk memiliki kediaman yang selesa.

“Rumah SMJ secara percuma ini sememangnya banyak membantu rakyat terutamanya mereka yang tidak mampu membina rumah di tanah sendiri disebabkan kekangan kewangan.

“Inisiatif ini perlu diteruskan dan ditingkatkan supaya lebih ramai lagi rakyat yang dikategorikan golongan e-Kasih dapat dibantu sekali gus mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan tegar,” katanya.

Nizam berkata, visi dan pandangan jauh ketua menteri layak dipuji kerana kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) GRS-PH Plus mempunyai hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang jelas.

Katanya, Selain penekanan meningkatkan ekonomi, nilai perdagangan dan sebagainya, kerajaan negeri tidak melupakan menjaga kebajikan rakyat secara keseluruhannya.

“Saya melihat pendekatan ketua menteri adalah cukup baik dan rakyat seharusnya mendokong setiap agenda serta pembangunan yang dirancang oleh pihak kerajaan negeri hari ini.

“Justeru, rakyat juga perlu menyokong kerajaan negeri hari ini supaya politik di Sabah dalam keadaan yang stabil agar banyak lagi pembangunan dapat direalisasikan,” katanya.

Terdahulu, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM120 juta setahun sejak tahun 2022 bagi membina 1,500 buah Rumah Mesra SMJ iaitu 20 untuk setiap DUN di Sabah yang bernilai RM80,000 seunit.

Turut hadir, Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Mohd Shoffian Mohd Said dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Apas, M Aziriansyah Ali.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top