120 anak Labuk dapat khidmat gunting rambut percuma

Labuk.jpg

Samad menyaksikan beberapa kanak-kanak sedang mendapatkan khidmat gunting rambut yang diadakan di Tapak Tamu FAMA.

LABUK: Kira-kira 120 anak-anak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Labuk mendapat khidmat gunting rambut percuma sempena dengan Program ‘Back To School’ yang diadakan pada Sabtu lepas.

Ia dianjurkan Pertubuhan Pendidikan Anak Labuk Beluran dengan kerjasama Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Labuk dan Messa Saloon & Beauty di Tapak Tamu FAMA, dekat sini.

Murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah di sekitar Labuk tidak melepaskan peluang itu, yang tidak lama lagi akan memulakan sesi persekolahan baharu pada tahun ini.

Program terbabit disempurnakan perasmiannya oleh Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Samad Jambri. Turut hadir Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Labuk, Zainuddin Sabu.

Samad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk dalam ucapan berharap program yang dilaksanakan itu dapat membantu meringankan beban ibu bapa terutama daripada golongan B40, khususnya mempunyai anak ramai yang masih bersekolah.

Beliau berkata, ekoran ketidaktentuan ekonomi masa kini dan ditambah lagi dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, pendekatan yang dilakukan menerusi program itu sekurang-kurangnya dapat membantu golongan kurang berkemampuan.

Selain meringankan beban ibu bapa usaha itu juga dapat membawa keceriaan kepada anak-anak yang bakal memasuki sesi persekolahan baharu dengan semangat yang lebih segar.

“Mudahan Program ‘Back To School’ melalui khidmat gunting rambut percuma ini bukan sahaja memberi semangat kepada anak-anak untuk bersekolah tetapi juga memberi kelegaan kepada ibu bapa yang kurang berkemampuan.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dalam menjayakan program ini dan mudahan segalanya mendapat keberkatan atas usaha ini,” katanya.

Dalam pada itu, Samad turut menggalakkan anak-anak muda khususnya golongan belia untuk menceburi bidang salon dan kecantikan memandangkan industri itu juga mendapat sambutan yang memberangsangkan.

Katanya industri itu juga berupaya membawa pulangan yang sangat baik malahan tidak ramai saingan dan sewajarnya anak muda tidak melepaskan peluang bagi menambah pendapatan melalui industri salon dan kecantikan.

 

— Kenneddy Corlleus/Penerangan Gagasan Rakyat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top