12 PATI Ditahan Dalam Op Gegar Di Sandakan

op-gegar-sandakan.jpg
Kongsi Bersama

SANDAKAN: Seramai 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang leka berhibur di sebuah pusat hiburan ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Kesemua PATI berusia 17 hingga 32 tahun itu ditahan dalam Operasi Gegar yang dijalankan kira-kira jam 11.25 malam, Jumaat lepas di premis hiburan di kawasan Bandar Indah, Batu 4 Jalan Utara.

Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata, kesemua PATI itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Turut ditahan adalah seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 48 tahun yang disyaki sebagai majikan yang akan disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana mengambil kerja orang asing yang tidak memiliki pas yang sah dan Seksyen 55E(1) akta yang sama kerana disyaki membenarkan imigran haram untuk masuk dan berada di dalam premis tersebut.

“Pemeriksaan yang dilakukan terhadap 40 orang pelanggan mendapati 12 orang daripadanya tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah. Daripada jumlah itu, 11 orang adalah PATI warga Filipina dan seorang warga Indonesia.

“Ketika serbuan dilakukan, sebahagian daripada 12 orang PATI itu dilihat sedang berhibur sebagai pelanggan dan selainnya turut disyaki sebagai pekerja di premis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi itu diketuai oleh Timbalan Penolong Pengarah Imigresen (TPPI) Afizan Samsi bersama 13 orang pegawai Imigresen dari Unit Penguat kuasa, Pejabat Imigresen Sandakan.

Sitti Saleha berkata, operasi-operasi di premis hiburan sebegitu akan dipergiat dan diteruskan dalam usaha membanteras PATI khususnya yang disyaki terlibat dalam aktiviti-aktiviti tidak bermoral.

Menurutnya, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah akan terus komited dalam usaha membanteras dan mencegah kehadiran PATI di negeri ini.

Justeru, beliau memberi amaran kepada orang awam khusunya majikan agar mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan Imigresen yang berkuat kuasa.

“Saya ingin mengingatkan pihak yang telibat agar tidak memperlekeh dan melanggar undang-undang Imigresen kerana JIM tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuklah hukuman berat tanpa kompromi kepada mereka,” katanya.

Tambahnya, Orang ramai juga dinasihatkan supaya memberikan kerjasama dan melaporkan kepada pihak berkuasa khususnya jabatan ini jika mendapati adanya kehadiran PATI dan aktiviti seumpama ini. – Borneo Today

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top