PAPAR: Seramai 114 pegawai teknikal akan ditempatkan di semua 38 pejabat daerah di seluruh Sabah bagi memantau perkembangan projek kecil di kawasan berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata tiga pegawai teknikal kontrak iaitu seorang jurutera dan dua penolong jurutera akan ditempatkan di setiap pejabat daerah.
“Sebelum ini, kerajaan pusat telah menurunkan kuasa untuk membolehkan pegawai daerah melaksanakan sendiri projek-projek kecil kerajaan khususnya di bawah Jabatan Perdana Menteri dan sebagainya, tetapi projek itu tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna kerana kekangan.
“Kita harap masalah ini dapat diselesaikan (dan) semua projek pembangunan yang telah ditetapkan di daerah masing-masing dapat dilaksanakan secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Bicara Kemerdekaan di Sekolah Menengah Agama Toh Puan Hajjah Rahmah di sini, semalam.
Sementara itu, beliau berkata program Bicara Kemerdekaan perlu dianjurkan di setiap sekolah bagi memastikan pelajar menghayati erti sebenar kemerdekaan,
“Adalah penting bagi pelajar mengetahui perjuangan nenek moyang kita dalam memperjuangkan kemerdekaan negara,” katanya. — Bernama