11 Rakyat Malaysia Hanyut Di Perairan Filipina Dibawa Pulang

kapal-mawila-2.jpg

Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membantu membawa pulang 11 rakyat Malaysia yang diselamatkan oleh kru kapal selepas bot mereka terbalik dan hanyut ke perairan Filipina. - Gambar fail Bernama

Kongsi Bersama

SANDAKAN: Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya membantu membawa pulang 11 warganegara Malaysia selepas bot dinaiki mereka terbalik dan hanyut ke perairan Filipina.

Dalam kenyataan pada semalam, Mawilla 2 berkata, seorang daripada warga Malaysia yang diselamatkan, Siti Naun Osman, 25, memberitahu kejadian berlaku semasa dia bersama 10 lagi mangsa iaitu lima wanita, dua lelaki dan tiga kanak-kanak dalam perjalanan dari Tawau menuju ke Semporna pada sebelah malam 29 Mac lalu.

Menurut kenyataan itu, bot yang dinaiki mereka terbalik akibat dipukul ombak kuat dan mereka terpaksa bertahan selama tiga hari dengan hanya duduk di atas bot yang terbalik bagi menyelamatkan diri.

“Bilik operasi Mawilla 2 menerima maklumat daripada Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kota Kinabalu memaklumkan sebuah kapal dagang Tomini Dynasty telah menjumpai 11 orang warganegara Malaysia di perairan Sibutu, Filipina,” kata kenyataan itu.

Kapal Diraja (KD) Paus, yang sedang melaksanakan Operasi Pasir Selatan di sekitar perairan Tanjung Labian, diatur gerak ke kapal dagang itu di posisi sekitar lapan batu nautika Selatan Tanjung Labian bagi mengambil kesemua mangsa terbabit.

Kapal berkenaan kemudian membawa mereka ke Pulau Tambisan dan diserahkan kepada Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu untuk tindakan lanjut. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top