KOTA KINABALU: Seramai 142 bakal haji dari Sabah berlepas dengan penerbangan pertama dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada jam 6.30 petang semalam.
Mereka adalah sebahagian daripada 1,079 umat Islam dari Sabah terpilih untuk mengerjakan ibadah haji di Tanah Suci pada tahun ini.
Menurut laporan BHarian 142 bakal haji dalam kumpulan pertama itu transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi melalui proses pemeriksaan imigresen dan kastam sebelum dijadual tiba di Tanah Suci pada jam 4.10 pagi tadi.
Majlis pelepasan kumpulan pertama tersebut berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, di sini, semalam.
Dalam amanat ringkasnya, Tun Juhar mengingatkan jemaah haji dari negeri ini supaya sentiasa menjaga akhlak dan menjauhi anasir tidak sihat yang boleh menjejaskan imej serta nama baik Sabah sepanjang berada di Tanah Suci.
“Semua jemaah haji harus mematuhi dan menghormati peraturan serta undang-undang yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi demi menjaga hubungan kedua-dua negara yang sudah lama terjalin.
“Saya mengucapkan syabas kepada Tabung Haji dan agensi kerajaan serta swasta yang terbabit dalam operasi haji tahun ini.
“Saya berbangga dengan persediaan dilakukan dan komitmen tinggi ditunjukkan dalam usaha mengekalkan kualiti perkhidmatan yang diberi kepada jemaah haji negara,” katanya.
Yang turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Timbalannya, Datuk Ir Shahelmey Yahya; dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Arifin Arif.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman.
Sementara itu, Syed Hamadah berkata, pihaknya sentiasa mendoakan agar semua bakal jemaah haji Malaysia dapat melaksanakan ibadat haji dengan tenang dan sempurna serta pulang dengan haji yang makbrur.
“TH berharap semua jemaah dapat memberi tumpuan dalam melaksanakan semua rukun dan wajib haji seperti yang dipelajari ketika kursus anjuran Tabung Haji,” katanya.
Beliau juga menasihati semua bakal jemaah haji untuk sentiasa menjaga kesihatan bagi mengelak jangkitan COVID-19 yang masih boleh mengancam kesihatan, di samping keadaan cuaca yang panas di Tanah Suci.
Bagi musim haji kali ini, katanya sebanyak enam penerbangan domestik menerusi Malaysia Airlines akan membawa bakal haji Sabah yang berlepas bermula semalam hingga 17 Jun ini.
Katanya, semua jemaah haji Sabah akan terbang ke KLIA terlebih dahulu bagi melalui proses Makkah Route iaitu pemeriksaan Imigresen dan Kastam Arab Saudi sebelum menaiki penerbangan sewa khas haji untuk ke Tanah Suci.