KOTA KINABALU: Seramai 107 warga Indonesia yang melakukan pelbagai kesalahan imigresen telah dihantar pulang oleh pihak berkuasa semalam (Khamis).
Mereka yang dihantar pulang, terdiri daripada 96 lelaki dan 11 perempuan dalam lingkungan usia 14 hingga 63 tahun, adalah tahanan yang ditahan di Depoh Imigresen Sandakan dan Tawau.
Pengarah Imigresen negeri Datuk Sharifah Sitti Saleha Habib Yusoff berkata kesemua mereka dihantar pulang dengan menggunakan pengangkutan laut MID EAST EXPRESS NO.1. yang berlepas dari pelabuhan Tawau menuju pelabuhan Nunukan di Indonesia.
Penghantaran pulang itu juga, katanya, adalah dengan kerjasama konsulat jeneral Republik Indonesia.
“Tahanan tersebut telah melakukan pelbagai pelanggaran di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan Imigresen 1963.
“Hukuman yang dikenakan adalah mengikut Akta dan proses undang-undang negara yang membawa kepada penghantaran pulang,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Bagi tujuan itu, Sitti Saleha mengingatkan semua warga asing supaya memastikan mereka memiliki dokumen perjalanan yang sah serta permit kerja untuk bekerja di Sabah, sebelum memasuki negara ini.
Beliau berkata semua agensi penguatkuasaan di negeri ini tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang.
Beliau berkata pengusiran itu adalah sebahagian daripada operasi berterusan Jabatan Imigresen Sabah untuk warga asing yang diadakan di depohnya di seluruh negeri.
“JIM negeri Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI setelah mereka melalui semua tindakan penguatkuasaan serta proses perundangan negara termasuk pengesahan daripada kedutaan negara masing-masing,” tegasnya.
Berita asal: The Star