105 Projek Infrastruktur Baharu Di Sabah

PM-di-Kinabatangan.jpg
Kongsi Bersama

KINABATANGAN: Kerajaan Persekutuan akan melaksanakan sebanyak 105 projek baharu dengan kos bernilai RM1.9 bilion bagi menaik taraf kemudahan infrastruktur asas di Sabah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, projek-projek itu termasuk menaik taraf jalan raya, bekalan elektrik dan air bersih.

Menurut beliau, kerajaan juga komited meningkatkan capaian internet di kawasan luar bandar di Sabah yang mana menerusi program Jalinan Digital Negara (Jendela), RM3.5 bilion diperuntukan bagi membangunkan 534 menara telekomunikasi di Sabah.

“Kerajaan memberi jaminan projek itu akan siap dalam tempoh dua tahun akan datang bagi memastikan tiada lagi pelajar yang terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Zon Timur, di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut meluluskan tiga projek dengan peruntukan RM12 juta bagi daerah ini selaras dengan permintaan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan.

Beliau meluluskan peruntukan itu bagi membina bangunan baharu Dewan Serbaguna Kota Kinabatangan, Pasar Awam Kota Kinabatangan dan pusat pelupusan sampah.

Sementara itu, Bung Moktar berkata, pembinaan dewan dan pasar awam yang lebih baik sangat diperlukan oleh rakyat di daerah berkenaan.

Beliau berkata, sekiranya masalah jalan raya, bekalan elektrik dan air bersih dapat diselesaikan, Sabah akan menjadi lebih maju berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

Menurutnya, projek-projek pembangunan perlu dilaksanakan secara berterusan bagi membolehkan Sabah keluar daripada negeri termiskin di Malaysia.

Beliau juga mahu semua pakej Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dapat dilaksanakan secara Inisiatif Kewangan Swasta (PFI) bagi mempercepat prosesnya.

“Jika tidak dilaksana secara PFI, sudah tentu pembinaan jajaran jalan raya itu akan mengambil masa 40 tahun untuk disiapkan. Pelaksanaan projek ini akan membawa perubahan besar kepada pembangunan ekonomi merupakan Sabah dan seterusnya membolehkan negeri ini keluar daripada garis kemiskinan,” katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top