SANDAKAN: Terdapat lebih 100,000 hektar hutan simpan di Sabah dikategori sebagai hutan terosot yang masih boleh dipulihkan dengan penanaman semula pokok bagi mengembalikan semula fungsinya sebagai platform ekosistem alam semula jadi negeri ini.
Ketua Konservator Hutan, Jabatan Perhutanan Sabah Frederick Kugan, berkata setakat ini kira-kira 60,000 daripada lebih 100,000 hektar hutan terosot itu dipulihkan dengan penanaman semula pokok, dan pada tahun ini disasarkan 5,000 hektar hutan simpan Sabah dipulihkan dengan cara sama.
“Kejadian hutan terosot ini berpunca daripada bencana kebakaran atau aktiviti yang dilaksanakan tidak mapan sehingga menyebabkan kawasan hutan berkenaan tidak lagi berupaya untuk pulih secara semula jadi,” katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun katanya penanaman semula pokok membabitkan kos yang besar dan oleh sebab itu Jabatan Perhutanan Sabah menggembleng usaha bersama-sama pihak berkaitan termasuk sektor swasta serta badan bukan kerajaan untuk melaksanakannya.
Beliau berkata pihaknya mengalu-alukan inisiatif semua pihak menanam pokok dalam usaha mencapai sasaran kempen 40 juta penanaman pokok di Sabah dalam tempoh lima tahun sehingga 2025 dengan purata menanam lapan juta pokok, setiap tahun.
“Setakat ini, Sabah merekodkan 380,000 pokok ditanam membabitkan kerjasama sektor swasta misalnya Nestle membawa sumber dana atau memberikan pokok untuk ditanam… kita jangka akan ada peningkatan penanaman pokok mulai pertengahan tahun ini di Sabah,” katanya.
Frederick berkata kempen penanaman pokok itu bertujuan meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai pentingnya kawasan liputan hutan untuk menambah baik ekosistem dan biodiversiti negara.
“Saya turut menggalakkan penduduk di negeri ini untuk menanam pokok dan boleh merekodkan aktiviti itu melalui mendaftar masuk menerusi aplikasi mudah alih Penghijauan Malaysia atau laman web www.100jutapokok.gov.my yang dibangunkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli,” katanya.
Menurutnya, aplikasi mudah alih itu boleh dimuat naik melalui platform GooglePlay, AppStore dan AppGallery. – BERNAMA