10,000 Dijangka Hadiri Jelajah Gelombang Biru dan Pelancaran Jentera BN Zon 5

bung-3.jpg
Kongsi Bersama

Oleh: Jaafar Abd Wahid.

KOTA KINABALU: Dianggarkan hampir 10,000 orang akan membanjiri Padang Perbandaran Sandakan pada Ahad ini untuk menzahirkan solidariti mereka kepada Barisan Nasional (BN) dalam program Jelajah Gelombang Biru dan Pelancaran Jentera Barisan Nasional bagi Zon 5 yang melibatkan bahagian-bahagian Kinabatangan, Beluran, Libaran,Batu Sapi dan Sandakan.

Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, program kali ini adalah yang keempat diadakan selepas ianya diadakan di daerah Tawau, Kota Belud dan Pensiangan.

Menurut beliau acara akan bermula pada 1 Oktober 2022 dengan pelbagai pengisian program antaranya Uji Bakat RTM, persembahan kebudayaan, tarian, persembahan hiburan Renewar Band, Lai Norman FT Atomic Power, Secret Busker, Qysstyna Busker, Peristiwa Busker, MZA Musician senam robik dan cabutan tiket bertuah.

Bung berkata pada hari berikutnya 2 Oktober 2022 majlis perasmian Jelajah Gelombang Biru dan Pelancaran Jentera BN Zon 5 akan diadakan di tempat yang sama di mana majlis perasmian yang bermula jam 2 petang itu akan disempurnakan oleh Ahli Majlis Tertinggi Umno yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Sebelum majlis perasmian pengunjung juga akan dihiburkan dengan persembahan nyanyian oleh beberapa artis jemputan antaranya Zuaba Zulmat, Rudy FT Shima dan Masmona. Turut diadakan cabutan tiket bertuah elain penunjung boleh mengunjungi gerai pameran dan jualan.

Sehubungan dengan itu Bung yang juga Ketua Umno Sabah meminta ahli-ahli dan semua pemimpin BN di zon yang terlibat datang beramai-ramai bukan sahaja untuk memeriahkan majlis pelancaran tersebut tetapi juga menyatakan solidariti ahli untuk bersama-sama berjuang menghadapi pilihanraya umum ke-15 (PRU-15).

“Majlis ini adalah titik tolak untuk menyatakan kesediaan kita merapatkan barisan dan menyokong wawasan bagi menghadapi PRU15 yang diadakan pada bila-bila masa,” katanya.

Dalam pada itu Bung yang juga Ketua Umno bahagian Kinabatangan berkata, jelajah Gelombang Biru dan Pelancaran Jentera BN akan diteruskan lagi ke beberapa zon iaitu Zon 1: Kudat dan Kota Marudu; Zon 4: Ranau, Keningau dan Tenom; Zon 3: Papar, Kimanis, Beaufort dan Sipitang; Zon 2: Sepanggar, Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top