RANAU: Kira-kira 1,000 orang bekas ahli Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), yang diketuai bekas Adun Paginatan, Datuk Abidin Madingkir menyerahkan borang menyertai Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dalam satu majlis di Kampung Lohan, di sini, semalam.
Borang keahlian itu diterima oleh Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.
Abidin adalah antara 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang beralih arah menyokong pembangkang diketuai bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dalam cubaan mengambil alih kerajaan pada akhir bulan lalu.
Cubaan itu bagaimanapun gagal berikutan pembubaran DUN oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin selepas menerima permohonan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Sementara itu Jeffrey memberitahu media partinya akan meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan dan Paginatan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), bulan depan.
Presidennya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata dua kerusi itu sudah pasti akan diwakili STAR, namun parti berkenaan masih lagi berunding dengan rakan parti lain di bawah Perikatan Nasional (PN) untuk mendapatkan kerusi lain.
“Ya, yang pasti setakat ini STAR akan bertanding di DUN Paginatan dan Tambunan. Rundingan di kerusi lain masih lagi berjalan tapi berapa jumlah yang kita minta belum dapat diumumkan lagi,” katanya.
STAR turut mengekalkan Abidin untuk mempertahankan Paginatan berdasarkan sokongan kuat pengikutnya di kawasan itu, manakala Jeffrey sudah pasti bertanding semula di Tambunan.
Sementara itu, mengulas mengenai hasrat Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk mengambil alih Tambunan pada PRN kali ini, Jeffrey berkata setiap parti berhak memilih kerusi yang mahu ditandingi tetapi terpulang kepada rakyat menentukan.
Tambunan adalah kerusi tradisi PBS yang disandang bekas presidennya, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dari 1976 sebelum jatuh ke tangan Jeffery yang juga adiknya pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.
Selain Tambunan, STAR juga menang di kerusi DUN Bingkor, manakala satu lagi kerusi iaitu Sook juga disandang STAR selepas wakil rakyat kawasan itu, Datuk Ellron Angin meninggalkan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan menyertai STAR pada akhir 2018.
Kedua-dua kerusi berkenaan juga dijangka ditandingi STAR pada PRN bulan depan.
Mengenai penggunaan lambang, Jeffrey berkata pemimpin semua parti akan berbincang mengenai baik buruk cadangan menggunakan satu lambang bagi mewakili pasukan PN dalam mesyuarat yang dijangka diadakan sebelum akhir bulan ini.
1,000 Tinggalkan UPKO, Sertai STAR
Komen