MEMBAKUT: Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut telah mengambil inisiatif bagi mewujudkan satu jawatankuasa yang dikenali sebagai Jaringan Usahawan Muda Membakut (JUM) bagi membantu usahawan di kawasan itu.
Menteri Sains Teknologi Dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, penubuhan awal jawatankuasa itu bertujuan mengenalpasti usahawan-usahawan di sekitar Membakut bagi membantu kumpulan berkenaan mengembangkan perniagaan masing-masing.
Mengulas lanjut, Arifin yang juga ADUN Membakut berkata hasil data yang diperoleh daripada JUM telah memudahkan penyaluran bantuan kepada seramai 100 usahawan muda di Membakut menerusi bantuan Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS), dibawah Program Outreach Ketua Menteri.
Tambah beliau, inilah usaha Ketua Menteri bagi membantu usahawan muda di luar bandar dengan mewujudkan Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR), di bawah Jabatan Ketua Menteri bagi mengangkat ekonomi rakyat.
Katanya, sebahagian besar usahawan muda yang menerima bantuan SYABAS hari ini adalah usahawan yang meraih pendapatan yang agak baik, dan suntikan dana yang diagihkan diyakini dapat mengembangkan potensi mereka.
“Kebanyakan usahawan ini menjalankan perniagaan di gerai-gerai, kanopi, ada juga yang ‘online’. Ada yang di kedai yang disediakan di Anjung Wawasan dan juga di Serambi Wawasan.
“Mereka (usahawan) ini sangat bersemangat dan insya Allah saya bersama dengan IKRAR akan memikul tanggungjawab yang diamanahkan oleh Ketua Menteri untuk terus membantu usahawan di kawasan Membakut, ” katanya.
Tambah Arifin, beliau akan terus menggerakkan usaha-usaha melalui JUM bagi membantu golongan itu sekaligus memantau apakah keperluan lain termasuklah memastikan mereka tidak tercicir untuk menerima bantuan penjaja, yang akan dilaksanakan Kerajaan Negeri pada tahun hadapan.
Dalam pada itu, Pengarah IKRAR, Azrul Ibrahim memberitahu sekitar 4,500 usahawan muda telah menerima manfaat SYABAS dalam Program Outreach yang dilaksanakan pihaknya dan dianggarkan baki 500 usahawan lagi akan disantuni.
“Program ini kita kenal pasti melalui pemimpin-pemimpin setempat serta dengan bantuan rakan strategik kita iaitu badan bukan kerajaan (NGO).
“Tahun depan, Ketua Menteri minta IKRAR untuk melaksanakan program ini pada skala yang lebih baik, pada skala yang lebih besar melibatkan peniaga-peniaga di kampung-kampung, di ceruk-ceruk pedalaman.
“Untuk baki 500 orang, kita usahakan untuk selesaikan tahun ini kalau tak sempat, kita selesaikan awal tahun depan,” katanya.
— Kenneddy Corlleus/Penerangan Gagasan Rakyat