SANDAKAN: 100 penduduk Kampung Forest menyerahkan borang menyertai PAS pada program yang diadakan di kampung terbabit kelmarin.
Borang terbabit diserah oleh wakil penduduk kepada Setiausaha PAS Sabah Dr Aliakbar Gulasan.
Turut hadir Timbalan-timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Sahar Abdul Majid, Abdul Hisham Othman, Ketua Pemuda PAS Negeri Hendri Hamsah dan Ketua Penerangan Pemuda PAS Negeri, Mustaman Mustain.
Wakil penduduk yang dikenali sebagai Bakri berkata, beliau dan rakan-rakan menyertai PAS atas kesedaran sendiri selepas melihat pemimpin PAS bersih daripada salah guna kuasa dan sentiasa turun padang walaupun bukan wakil rakyat.
“Biarpun bukan wakil kerajaan, namun pemimpin PAS berusaha mencari dana bagi membantu penduduk terutamanya golongan miskin dan mereka yang ditimpa sesuatu musibah,” katanya pada majlis tersebut.
Oleh itu beliau mengajak penduduk Bumiputera Sabah turut menyokong PAS yang dianggap sangat relevan untuk masa depan politik negara ini. – HARAKAHDAILY