PETALING JAYA: Seramai 100 mahasiswa daripada pelbagai Institut Pengajian Tinggi (IPT) menyantuni lebih 6,000 penduduk Sabah melalui Misi Sukarelawan Siswa Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) ke negeri itu.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, Misi Sukarelawan Siswa YSS itu berlangsung selama 10 hari bermula 1 September lalu, melibatkan enam lokasi di daerah Kudat, Tuaran dan Beluran, Sabah.
“Program itu merupakan misi pertama tempatan yang dijalankan YSS selepas pandemik Covid-19 melanda negara.
“Sukarelawan yang terpilih terdiri daripada pelajar IPT, institut pengajian tinggi swasta (IPTS), politeknik, dan Institut Pendidikan Guru seluruh negara itu berpeluang untuk berinteraksi serta tinggal bersama komuniti setempat,” katanya.
Seramai 6,478 penduduk kampung dan 1,505 murid-murid sekolah mendapat manfaat daripada 136 projek yang dilaksanakan sukarelawan siswa YSS.
Penduduk kampung yang terlibat dalam misi ini merangkumi penduduk Kg. Perpaduan (Banggi); Kg. Indarason Laut (Matunggong); Kg. Penimbawan; Kg. Berungis; Kg. Kabuluh (Paitan) dan Kg. Tanjung Nipis (Paitan).
Projek yang dijalankan adalah berlandaskan enam teras kesukarelawanan YSS iaitu pemerkasaan komuniti; penambahbaikan pendidikan dan pembangunan kapasiti; ketahanan terhadap impak perubahan iklim dan kelestarian alam sekitar, kesihatan, transformasi digital serta mobilisasi impak sosial.
Enam teras tersebut selari dengan matlamat YSS untuk terus menyokong pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke arah mencapai Agenda 2030.
Antara projek-projek yang dilaksanakan adalah saringan kesihatan dan pergigian percuma; pembinaan projek laluan pejalan kaki sekolah; kelas tuisyen percuma berkonsepkan fun learning; kelas penguasaan teknologi komunikasi maklumat (ICT); bicara siswa; program pencegahan kebakaran dan pengurusan bencana; gotong-royong perdana; program silang budaya dan penanaman Tunjang Bakau.
Berita penuh di: Utusan Malaysia