NABAWAN: Sebanyak 100 Ketua Isi Rumah (KIR) di Pekan Kecil Pensiangan, Kampung Sepulut dan Kampung Bahagia, di sini menerima bantuan barangan makanan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Nabawan, yang disampaikan baru-baru ini.
Pegawai JHEAINS Nabawan, Zaki Laumin berkata, mengikut pecahan sebanyak 35 bakul bantuan barangan makanan disampaikan kepada 35 KIR di Pekan Kecil Pensiangan, Kampung Sepulut (40 KIR) dan Kampung Bahagia (25 KIR).
Katanya, bantuan itu disampaikan bagi membantu meringankan beban mereka yang terjejas.
Selain itu katanya, ianya disampaikan bagi menggalakkan mereka agar tidak keluar ke pekan-pekan untuk membeli barangan keperluan makanan bagi mengelakkan mereka daripada dijangkiti COVID-19.
“Walaupun jauh di pedalaman kami tidak akan melupakan mereka dan terus menyantuni mereka khususnya pada masa kini ketika negara dilanda pandemik COVID-19.
“Kita tidak melupakan mereka yang jauh di pedalaman kerana sudah pasti mereka juga terjejas dengan pandemik COVID-19 ini,” jelasnya ketika dihubungi pemberita di sini kelmarin.
Katanya, program tersebut akan diteruskan pada masa akan datang di kampung-kampung yang lain di daerah ini dan bantuan itu juga disampaikan tidak mengira sama ada penduduk di kawasan pekan, pinggir pekan mahupun di pelusuk luar bandar. – New Sabah Times