100 Doktor Tolak Tawaran Lantikan Tetap di Sabah, Sarawak

KSU-kesihatan.jpg
Kongsi Bersama

PUTRAJAYA: Hanya 200 daripada 300 pegawai perubatan yang dilantik Kementerian Kesihatan (KKM) untuk ditempatkan di Sabah dan Sarawak bersetuju menerima lantikan itu.

Bakinya gagal melaporkan diri untuk bertugas.

Ketua Setiausaha KKM, Datuk Mohd Shafiq Abdullah (gambar) berkata pelantikan itu selaras dengan keputusan kerajaan pada 14 Julai lalu bagi menangani isu berkaitan doktor kontrak.

Katanya, pihaknya memandang serius isu berkenaan dan peluang pelantikan itu tidak seharusnya dilepaskan terutamanya ketika doktor kontrak mengemukakan tuntutan kepada kerajaan untuk melantik mereka secara tetap.

“Dalam hal ini, tawaran pelantikan tetap kali kedua tidak lagi akan ditawarkan kepada pegawai yang menolak tawaran bagi memberi peluang kepada pegawai lain yang masih menunggu giliran untuk dilantik.

“Sehubungan itu, sebanyak 100 kekosongan jawatan tetap di Sabah dan Sarawak akan dibuat pengisian dengan segera dalam kalangan calon yang berada dalam kohort ketiga (lantikan 15 Mei 2017), selepas mendapat kelulusan pelantikan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA),” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mengenai 100 calon yang menolak untuk menerima lantikan tetap itu, Mohd Shafiq berkata, ia membabitkan 85 pegawai menolak tawaran berkenaan dan 15 lagi sudah meletak jawatan kerana mendapat tawaran pekerjaan lain.

Mengulas mengenai pelantikan baharu itu, Mohd Shafiq berkata, 150 pegawai membabitkan 19 individu kelahiran Sabah dan 131 lagi pegawai kelahiran Semenanjung ditawarkan pelantikan tetap dengan penempatan di Sabah.

“Selain itu, 150 pegawai kelahiran Semenanjung dilantik tetap dengan penempatan di Sarawak. Kesemua anak kelahiran Sarawak dalam kohort berkenaan sudah dilantik dalam pelantikan terdahulu.

“Secara keseluruhannya, sejak lantikan secara tetap pegawai perubatan pada 2018 hingga kini, jumlah keseluruhan pegawai yang sudah ditawarkan pelantikan tetap adalah seramai 1,089 orang,” katanya.

Sebelum ini, sekumpulan doktor kontrak yang berkhidmat dengan kerajaan mengadakan perhimpunan atau hartal supaya dilantik sebagai pegawai tetap dalam fasiliti kesihatan.-bharian


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top