10 van ditahan bawa pelancong tanpa lesen sah

JPJ-van.jpg

(Kredit foto: FB JPJ Negeri Sabah)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sebanyak 10 buah van ditahan dalam Ops Khas Van Putih Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas didapati membawa pelancong dalam dan luar negara tanpa lesen sah.

Operasi yang bermula jam 10 pagi hingga 3 petang itu dilaksanakan oleh JPJ dan Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

Pengarah Penguatkuasa Kanan JPJ Datuk Lokman Jamaan berkata, bertindak atas aduan awam, pihaknya dengan MOTAC melaksanakan operasi berkenaan bagi mengesan ulat-ulat pelancong yang menganjurkan perniagaan kenderaan pelancongan tanpa lesen yang sah di bandar raya ini.

Katanya, operasi mensasarkan koridor penguatkuasaan sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dengan pasukan Tindakan Khas JPJ melalui risikan operasi telah mengesan aktiviti menganjurkan perniagaan kenderaan pelancongan tanpa lesen yang sah kepada pelancong dalam dan luar negara.

Menurutnya, hasil daripada operasi khas itu, sebanyak 10 van ditahan iaitu sembilan diambil tindakan manakala satu disita kerana insuran dan lesen tamat tempoh.

“Semua yang ditahan adalah ulat pelancong kerana hasil pemeriksaan dan siasatan yang dijalankan, didapati mereka tidak dapat mengemukakan permit-permit yang sah daripada MOTAC.

“Manakala semua penumpang akan diambil keterangan bagi menjalankan siasatan lanjut bagi pemilik dan pemandu kenderaan,” katanya kepada media selepas melaksanakan operasi berkenaan, semalam.

Lokman berkata, hasil siasatan juga mendapati ulat pelancong ini menggunakan pelbagai kaedah termasuk pengiklanan dalam talian bagi menawarkan perkhidmatan tanpa mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan mengikut Akta Pelesenan Kenderaan Pelancongan 1999.

Di samping itu, katanya JPJ juga turut mengambil tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan peraturan dibawahnya bagi kesalahan teknikal kenderaan dan pemanduan.

“Kita bertindak atas aduan awam dan juga pemilik-pemilik kenderaan pelancongan yang telah sedia ada permit-permit mereka.

“Jadi perbuatan mereka (ulat pelancong) ini telah mengganggu perjalanan-perjalanan pelancongan disamping memberikan satu risiko yang besar kepada pelancong-pelancong yang menggunakan perkhidmat mereka selain menjejaskan perniagaan yang sah,” katanya.

Sehubungan itu, Lokman berkata, JPJ memohon kerjasama orang awam untuk membuat aduan kepada pihak MOTAC atau JPJ jika terdapat mana-mana pihak menganjurkan perniagaan kenderaan pelancongan tanpa lesen yang sah.

“Oleh itu, JPJ menyeru kepada orang awam untuk melaporkan aduan secara terus atau ‘real time’ dengan menggunakan aplikasi MyJPJ e-aduan@jpj atau email aduantrafik@jpj.gov.my beserta dengan butiran lengkap aduan,” katanya.- Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top