KOTA KINABALU : Seramai 10 artis tempatan berentap merebut gelaran Anugerah Juara Carta Lagu Artis Sabah (CLAS-15) musim ke-15 ysng akan berlangsung di Dewan Resital, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Sabtu ini.
Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Salmah Hashim berkata, kelainan CLAS-15 kali ini buat julung kalinya menampilkan gabungan ‘Orkestra Angkasapuri dan Kombo RTM Sabah’ mengiringi sepenuhnya 10 lagu, dan akan dirakam sepenuhnya olehUnit Penerbitan TV, RTM Sabah untuk disiarkan di TV2, pada 6 Julai ini jam 9.00 malam.
Katanya, antara lagu yang dipertandingkan termasuklah (Menanti Akhirnya Malam) penyanyi Cearah, (Sumpah Setia) Santiana Ramli, (Sakitku Bahagiamu) Fadh Lee, (Teguh) Qalisya.
“Lagu lain (Kisah Kita) Ires, (Cinta Tak Sempurna) Rocasia, (Kerlingan Rindu) Syarweena, (Penjaga Jodoh) Apiz Paschya, (Mungkin ini Bukan Sayang) Velvet dan (Rasa Hati) Verryca B,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Salmah berkata, program ini yang dihoskan DJ Pyan dan DJ Moon itu akan diadili empat juri professional manakala artis jemputan dalam CLAS-15 ini ialah Dayang Noraini dan Joy Bintang RTM 2024.
“Hadiah erupa wang tunai RM5,000 menanti pemenang Juara Lagu, manakala pemenang Vokal Terbaik akan menerima RM3,000 dan Lirik Terbaik RM3,000 selain sijil serta hadiah iringan.
“Persembahan Terbaik juga menerima RM3,000 bersama piala serta hadiah lain yang disumbangkan oleh Jetama Sdn Bhd.
“Bagi peserta yang gagal mendapat tempat masing-masing akan menerima saguhatti RM 1,000 yang disumbangkan oleh Sabah Oil Gas & Development Sdn Bhd,” jelas Salmah.
Menurutnya, orang ramai dijemput menyaksikan CLAS-15. Masuk adalah percuma dan siaran CLAS-15 juga akan disiarkan secara langsung melalui Radio SABAHfm, jam 8.00 malam.
“RTM Sabah juga menyediakan siaran secara langsung melalui platform Facebook rasmi Hiburan dan Muzik. Ini merupakan peluang orang ramai untuk memberikan tanda sokongan kepada lagu dan artis tempatan Sabah melalui CLAS-15 nanti,” tambah beliau.