KOTA KINABALU: Berdasarkan bancian yang dijalankan pada tahun 2020, terdapat seramai 18 warga emas beusia 120 tahun di seluruh negara.
Daripada jumlah itu Sabah merekodkan bilangan yang paling ramai iaitu 10 orang, diikuti Selangor (dua oranG) dan masing-masing seorang di Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Perak, Perlis dan Kuala Lumpur.
Menurut HMetro, berdasarkan bancian yang sama terdapat seramai 1,043 warga emas berusia 100 tahun dan lebih di negara ini.
Laporan itu memetik Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin sebagai berkata, penemuan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) menunjukkan komposisi penduduk umur tua (65 tahun dan lebih) meningkat daripada 3.1 peratus pada 1970 kepada 6.8 peratus pada 2020.
“Berdasarkan data anggaran penduduk semasa, Malaysia mencapai status negara menua pada 2021 apabila komposisi penduduk umur tua mencecah 7.0 peratus dan terus meningkat kepada 7.4 peratus pada 2023,” katanya.
Mengulas lanjut, anggaran penduduk semasa pada 2023 menunjukkan Perak mencatatkan komposisi penduduk umur tua (65 tahun dan lebih) tertinggi dengan 9.7 peratus.
“Ini diikuti Kedah dan Sarawak masing-masing mencatatkan 8.8 peratus dan 8.3 peratus.
“Lapan daripada 16 negeri dan wilayah mencapai status negeri menua apabila komposisi penduduk umur tua melebihi 7 peratus pada 2023,” katanya.
Beliau berkata, statistik penuaan adalah penting untuk merancang perkhidmatan sosial dan infrastruktur termasuk mereka bentuk ruang awam yang boleh diakses, sistem pengangkutan dan kemudahan penjagaan kesihatan yang menampung keperluan mobiliti dan penjagaan kesihatan individu yang lebih tua.
“Individu juga perlu menyediakan wang persaraan mencukupi atau membuat perancangan bermula sekarang bagi persediaan menghadapi masa tua.
“Jangkaan hayat pada umur 60 tahun pada tahun 2020 bagi lelaki dan perempuan, masing-masing 18.2 dan 20.9 tahun dan kehidupan sepanjang jangka hayat ini dengan tanpa pendapatan bulanan sepertimana ketika masih bekerja adalah satu cabaran besar kepada penduduk tua,” katanya.