KOTA KINABALU: Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (KOOP SAHABAT) menyasarkan pembukaan sepuluh cawangan Klinik Sahabat sehingga tahun 2026.
Pengerusi Lembaga Koop Sahabat, Mohd Najib Mohd Noor berkata, penubuhan klinik melalui kendalian anak syarikat KOOP, Sahabat Ikhtiar Healthcare Sdn. Bhd. menyasarkan pendapatan tahunan sebanyak RM 8 juta daripada sepuluh cawangan tersebut.
“Kami juga berhasrat untuk mengembangkan lagi cabang perniagaan melalui pembukaan Pusat Perubatan Wanita dan Kanak-kanak, Klinik Estetik serta Pusat Dialisis.
“Usaha ini diharapkan dapat membuka lebih banyak ruang pekerjaan dan peluang pendidikan dalam bidang kesihatan kepada para anggota,” ucapnya semasa Majlis Perasmian Klinik Koperasi Sahabat disini, pada Khamis.
Dalam pada itu, Mohd Najib turut memaklumkan penubuhan klinik ini bertujuan menjadi penyedia perkhidmatan kesihatan serta meningkatkan kefahaman kesihatan secara lokaliti.
“Ia ditubuhkan setelah melihat respon yang amat baik terhadap pembukaan dua cawangan terdahulu iaitu di Taman Keramat Permai dan Semenyih.
“Selain itu, ia juga bagi memberikan kemudahan serta meraikan anggota KOOP Sahabat di negeri ini yang mempunyai keahlian paling ramai iaitu 78,000 orang berbanding negeri-negeri lain,” ucapnya lagi.
Turut diadakan penyerahan pembiayaan Tabung Modal Pusingan (TMP) oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) kepada KOOP Sahabat yang akan digunakan bagi tujuan projek pembangunan hartanah di Bukit Bandaraya Shah Alam.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dan Pengarah SKM negeri Sabah, Matias Kundapin. – JAPEN Sabah