KOTA KINABALU: 10 juara antara etnik bakal berentap di final Anugerah Juara Lagu Etnik Sabah (AJLES), anjuran Persatuan Artis Tempatan Sabah (PERTISA) di Auditorium JKKNS, di sini, hari ini.
Pengarah Program yang juga Presiden PERTISA, Guadik Ansiw, berkata, program yang dirancang sejak tahun lalu itu merupakan satu lagi usaha PERTISA bagi menyatukan semula lagu-lagu etnik tempatan dan artis Sabah di dalam sebuah acara.
Katanya, kesemua lagu yang dipertandingkan merupakan karya etnik asli dan asal kesemua finalis, yang diterbitkan sejak tahun 2000 sehingga kini.
“Selain hadiah-hadiah lumayan, inilah peluang kita sebagai penggiat seni untuk menonjolkan karya dari pelbagai etnik dan lagu-lagu mereka juga bakal dikenali melalui platform media sosial seperti Youtube, Facebook, Tiktok dan sebagainya,”.
Menurutnya, para finalis merupakan juara bagi 10 kategori etnik yang dipertandingkan iaitu Dusun, Kadazan, Murut, Rungus, Bajau, Tatana, Bisaya, Lotud, Tobilung, dan Sungai.
Mereka yang bertanding ialah Benn Simon Bukag (Dusun), Lenny James (Kadazan), Keydeet Jake (Murut), Larry Boy (Rungus), Rubisa Tiasin (Bajau), Adex (Tatana), Emjey Yassin (Bisaya), Jacinda Faye (Lotud), Stefanus Nodibin (Tobilung) dan Clarice John Matha (Sungai).
Menurut Guadik, selain finalis yang bertanding malam ini, para penonton juga akan dihiburkan dengan persembahan budaya, termasuk juga beberapa artis terkenal Sabah.
Justeru, para peminat seni hiburan tempatan dipelawa menghadiri acara tersebut bagi memberi sokongan kepada semua artis yang bertanding.
Di samping berpeluang bertemu mesra dan bergambar dengan artis, penonton juga akan dihiburkan dengan persembahan-persembahan mereka bermula jam 7.00 malam.
Dalam pada itu, katanya, dari segi pengadilan pada peringkat pemilihan juara etnik, PERTISA telah bekerjasama dengan banyak pihak termasuklah badan berkecuali seperti RTM dan sebagainya supaya bersifat telus dan adil.
“Masuk adalah percuma, ajaklah ramai kawan untuk menyaksikan acara yang julung kalinya diadakan ini bagi memeriahkan lagi arena seni hiburan tempatan di Sabah di samping menyemarakkan lagi semangat perpaduan kita sebagai rakyat Sabah yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama,” katanya. –SABAHitz On9 TV