10 Finalis Bakal Berentap Di Pertandingan Sugandoi Kaamatan Tuaran 2022

pertandingan-kaamatan.jpg
Kongsi Bersama

TUARAN: 10 finalis bakal berentap bagi menentukan juara Pertandingan Sugandoi Kaamatan Peringkat Daerah Tuaran 2022, seterusnya mewakili daerah Tuaran ke Hongkod Koisaan KDCA nanti.

Pada saringan yang diadakan Ahad lalu, seramai 40 peserta mengambil bahagian bagi kategori Terbuka, sembilan peserta Dazanak dan lima penyertaan untuk kategori Songkotoun.

Menurut Timbalan Pengerusi Pelaksana pertandingan, LP Raphiel Pinus, pada awalnya pihak penganjur telah menetapkan hanya lapan peserta ke final.

“Bagaimanapun, melihat kepada kualiti kebanyakan peserta kali ini, kita telah membuat sedikit kejutan dengan menambah dua lagi finalis untuk berentap pada 10 Mei nanti,” katanya.

“Semoga keputusan ini akan menaikkan semangat para peserta. Bagi mereka yang tidak terpilih, tahniah kerana anda telah melakukan yang terbaik. Jangan berputus asa, peluang sentiasa ada untuk berjaya, terus mengasah bakat anda dalam apa-apa saja pertandingan nyanyian,” katanya.

10 peserta Sugandoi Kaamatan bagi kategori Terbuka yang berjaya ke final ialah Ednestha Francis, Joshua Eleazar, Wellgoh Giri, Allysia Francis, Oswald Evan, Cindy Claudia Mathius, Kennedy Azrin Francis, Denno roy, Vianney Viola Williearl dan Hector J.

Manakala bagi kategori Sugandoi Dazanak, hanya lima peserta layak ke final iaitu Jesse Eamanda Jackhlee, Chesy Ezrah Floren, Veronica Moris, Elldin Jadder Francis dan Mcryan Marcello.

Sementara itu, bagi Sugandoi kategori Songkotoun pula, berdasarkan penilaian dan pemarkahan diberikan ketiga-tiga juri pada peringkat saringan Ahad lalu, pihak penganjur mengambil keputusan untuk tidak mempertandingkan kategori ini pada 10 Mei.

“Bagaimanapun, persembahan peserta pada saringan hari ini telah diambil kira dan melayakkan kesemua peserta Songkotoun menerima hadiah penyertaan yang dijangka akan disampaikan pada 10 Mei nanti,” jelas beliau.

Para peserta diadili tiga juri profesional terdiri daripada artis wanita terkenal Sabah, Clarice John Matha, komposer dan penerbit berpengalaman, Narsisius Justin Misin dan pemuzik dan komposer, serta kakitangan kombo Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS), Gilbert Jim Lajim.

Turut hadir menyaksikan Saringan Sugandoi Kaamatan pada Ahad lalu ialah Pegawai Daerah Tuaran, yang juga Pengerusi Pelaksana Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tuaran, Syahrin Samsir, Penolong Pegawai Daerah (ADO) Tamparuli, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Sugandoi Kaamatan Peringkat Daerah Tuaran 2022, Herman Tunggiging, Timbalan Pengerusi Taman-Taman Sabah, Peter Lintar dan Pengerusi KDCA Youth Council (KYC), Steve Johnny Mositun.

Berita asal: Warta Oriental


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top